Sejarah Sekolah

Sejarah Datuk Merpati Jepang

    Menurut Hikayat Datuk Merpati, Datuk Merpati merupakan seorang pengembara yang berasal dari Jawa pada zaman pemerintahan Sri Vijaya dalam kurun ke-14. Beliau dan dua adiknya dihalau oleh bapa mereka dan belayar ke Johor. Di Johor beliau berkahwin dengan Puteri Sultan Johor yang bernama Permausuri. Datuk Merpati mempunyai dua orang anak iaitu Merpati Jepang dan Dayang Seri Bulan. Dalam pengembaraan Datu Merpati seterusnya, mereka dipukul ribut dan terdampar di Tanjung Datu. Dari sinilah mereka menetap dan membuka perkampungan baru. Di samping itu Datuk Merpati dan anaknya Merpati Jepang telah banyak membuka penempatan baru seperti di Samarahan dan beberapa bahagian di Sarawak tanpa menghadapi apa-apa halangan daripada penduduk tempatan. Berdasarkan sejarahnya juga banyak pembesar-pembesar Sarawak adalah keturunan Merpati Jepang, salah seorang daripadanya adalah Datuk Patinggi Ali. Berinspirasikan semangat juang dan kepimpinan yang ada pada Merpati Jepanglah yang memungkinkan sekolah ini mendapat namanya.

Sejarah SK Merpati Jepang

Bangunan sekolah yang mula-mula digunakan adalah bangunan Pejabat Perhutanan. Penduduk kampung telah mendermakan tapak untuk pembinaan sekolah ini yang asalnya adalah Pejabat Perhutanan yang hanya ada dua bilik, satu bilik untuk pelajar lelaki manakala yang satu lagi untuk   pelajar perempuan. Apabila bilangan pelajar bertambah, maka bangunan Pejabat Perhutanan diroboh dan digantikan dengan bangunan sekolah yang baru. Pembinaan bangunan pertama sekolah ini dibina secara gotong-royong yang diketuai  oleh Ketua Kampung Hassan Endu dan Haji Salleh serta dibantu oleh penduduk kampung (bangunan ini telah diroboh pada   tahun 2000 untuk membina     dewan sekolah).
   
    Untuk menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah, beberapa guru telah mencadangkan kepada Kuching Municipal Council (KMC) yang pengerusinya ketika itu ialah Datuk Merican untuk memohon bangunan tambahan didirikan (bangunan perpustakaan sekarang ini). Antara tokoh-tokoh ternama yang pernah belajar di sekolah ini termasuklah Menteri Perumahan dan Pembangunan     Bandar, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Johari Tun Abang Haji Openg dan juga Tan Sri Datuk Amar   Dr. Sulaiman Haji Daud.